Polis rampas rokok seludup berjumlah lebih RM2 juta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis merampas rokok putih dan kretek yang tidak mempunyai cukai kastam dianggarkan berjumlah hampir RM2 juta termasuk cukai dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Jalan Muadzam Shah-Bukit Ibam, Rompin, 2 Julai lalu.

Rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas berjaya memintas dan menahan sebuah lori pada 4.15 pagi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan terhadap lori terbabit menemukan sejumlah rokok tidak berkastam yang ditutupi dengan kotak makanan untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Rokok ini dipercayai diperolehi dari negara jiran dan dibawa masuk melalui jalan laut di sekitar Rompin. Rokok ini dipercayai akan diedarkan ke Melaka dan Kuala Lumpur.

“Jumlah rokok kretek yang dirampas ialah 1,604,000 batang manakala 840,000 batang rokok putih dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai RM1.95 juta.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati lori terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan dianggarkan bernilai RM80,000 turut dirampas untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori berusia 36 tahun direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Ramli berkata, polis menahan pemandu lori berusia 40 tahun apabila dikesan membawa muatan 47 guni mengandungi rokok pelbagai jenama yang dipercayai tanpa cukai kastam.

Katanya, rampasan itu dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temin, Jerantut pada 5 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori terbabit menemui 47 guni yang mengandungi rokok pelbagai jenama dipercayai tanpa cukai kastam berjumlah RM278,000.

“Siasatan awal mendapati rokok terbabit dipercayai untuk pasaran di Pantai Timur dan suspek menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pergerakan dan bukan surat kebenaran polis,” katanya.

Katanya, pemandu berkenaan direman mulai hari ini sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sumber: My Metro