Polis Temui Petunjuk Tempat Mangsa Hilang Di Sungai Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Polis sudah mendapat petunjuk iaitu tempat di mana kemungkinan kedudukan mangsa yang hilang akibat terjatuh ke dalam sungai, selepas menerima maklumat daripada penduduk berdekatan.

Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata pihaknya memulakan operasi dengan mengenal pasti kawasan tempat dua mangsa itu dikatakan hilang dan bersedia untuk melakukan selaman.

“Usaha ini digerakkan oleh pasukan pasukan penyelamat di air (PPDA) Bomba dan Penyelamat menggunakan teknologi AI (Artificial Inteligent), bagi mengenal pasti kawasaan disyaki dengan lebih tepat.

“Terdapat beberapa halangan dihadapi iaitu air pasang menyebabkan arus sungai deras berbanding malam tadi, sekali gus menyukarkan kerja mencari dan menyelamat. Semalam kita buat tinjauan pada bahagian permukaan sungai dan pagi ini kita tambah kawasan liputan pencarian,” katanya di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu di sini hari ini.

Semalam media melaporkan seorang wanita Nor Awadah Sulong, 30, ditemukan lemas, manakala suaminya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, dan anak saudaranya Amrullah Fitri Afendi, 11, masih hilang selepas terjatuh dari bot di Sungai Kelantan, Kampung Kutan Hulu, di sini.

Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi, 14 bulan, yang turut berada dalam bot itu, terselamat.

Amran berkata usaha mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan 79 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dengan menggunakan aset 13 bot digerakkan, juga tambahan bantuan dua bot daripada penduduk kampung.

Sementara itu, bapa Amrulah, Afendi Ismail, 43, berkata beliau melaungkan azan di kawasan sungai terbabit semalam, setelah mengetahui anak keduanya itu terlibat dalam kejadian tersebut.

Afendi yang juga Penghulu Mukim Padang Lepai Kadok menyatakan anaknya itu tidak pandai berenang.

Beliau yang menetap di Kampung Patek, Kadok telah pergi ke rumah bapa mertuanya di Kampung Kutan Hulu selepas Solat Jumaat, sebelum kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 6.45 petang semalam.

— BERNAMA