Polis Terengganu Kesan Trend Baharu Edar Dadah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU –  Polis Terengganu  mengesan taktik baru penyeludupan dadah  dengan menghanyutkan guni yang diikat dengan pelampung ke pinggir pantai bagi membawa masuk barang terlarang itu ke dalam negara.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, susulan itu, pihaknya berjaya merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 18.7 kilogram bernilai RM674, 244 yang ditemui terdampar di tepi Pantai Rhu Kubur, Jambu Bongkok, Marang pada Ahad lepas.

Katanya, taktik tersebut digunakan  untuk mengaburi aktiviti penyeludupan tersebut selepas cubaan menyeludup melalui jalan darat gagal berikutan operasi besar-besaran yang dijalankan pihak narkotik diseluruh negara.

“Dadah tersebut disorok di dalam 17 bungkusan teh Cina yang dilabel dengan tulisan tangan perkataan Cina bermaksud ‘lancar’.

“Melalui taktik baru ini,  mereka telah melepaskan guni tersebut melalui pantai dan telah memaklumkan kepada pihak sindiket di Malaysia untuk mengambilnya.

“Ini bermakna mereka bukanlah berhubung secara terus dengan pengedar tempatan dan tidak menolak kemungkinan perairan Terengganu dijadikan sebagai lokasi transit untuk membawa masuk dadah dari sempadan sebelum dijual ke pasaran di negara,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata, kegiatan pengedaran dadah menerusi jalan laut itu terbongkar selepas seorang penduduk tempatan terserempak dengan tiga individu mencurigakan sedang mengangkat barang di kawasan pantai tersebut pada pukul 8 malam, hari tersebut.

Walaubagaimanapun katanya, tiga suspek berkenaan bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penduduk kampung sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Tambahnya, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, orang ramai dimohon memberikan kerjasama terutamanya mereka yang menetap di perkampungan pantai nelayan agar sentiasa peka kepada kegiatan sebegini untuk melaporkan segera kepada pihak polis sekiranya terdapat unsur mencurigakan.

Sumber: TRDI News