Washington: Pemilik kuku terpanjang di dunia, Ayanna Williams akhirnya mengambil keputusan memotong kukunya selepas menyimpannya selama 28 tahun.
Warga emas dari Houston, Texas itu memecahkan Guinness World Records iaitu menjadi individu memiliki kuku terpanjang di dunia pada 2017.
Kukunya berukuran 24 kaki atau 7.31 meter (m).
CNN melaporkan, dia memerlukan lebih dua botol pewarna kuku dan mengambil masa 20 jam untuk melakukan rawatan kecantikan itu.
Ayanna tampil di pusat rawatan dermatologi di Fort Worth, Texas dan petugas menggunakan alat khas untuk memotong kuku yang kali terakhir pernah dipotong pada awal 1990-an.
“Ada kuku atau tidak, saya tetap menjadi permaisuri.
“Kuku saya tidak membuat saya, saya membuat kuku saya,” katanya.
Ayanna mengatakan dia hanya menyimpan semula kuku sepanjang enam inci (15 sentimeter).
Dalam pada itu, Ripley’s Believe It or Not! mempamerkan kuku milik Ayanna itu di muziumnya di Orlando, Florida.
Ayanna sebelum ini tidak dapat melakukan beberapa aktiviti seperti mencuci pinggan dan menarik cadar katil kerana kukunya itu.
Dia berkata, tujuan utama memotong kuku untuk mendorong peminat kuku lain mencipta rekod baharu di Guinness World Records.
Rekod untuk kuku jari terpanjang dunia dimiliki seorang wanita, Lee Redmond yang menyimpannya sejak 1979.
Kuku Redmond dilaporkan sepanjang 28 kaki (8.5m) tetapi wanita itu kehilangan kukunya itu dalam kemalangan kereta pada 2009.
Sumber: My Metro