PPD Diarah Buat Penilaian Kesediaan Pembukaan Sekolah Terjejas Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin

KOTA MARUDU: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan yang terbabit dengan banjir di Sabah diarah membuat laporan segera mengenai keadaan sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan yang bermula Isnin depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin, berkata terdapat sekolah yang terjejas akibat banjir memerlukan masa untuk dipulihkan dan mungkin tidak cukup bersedia bagi pembukaan sekolah.

Sehubungan itu, katanya, PPD, Guru Besar dan Pengetua di setiap sekolah yang terjejas perlu segera menilai tahap persediaan masing-masing supaya Kementerian Pendidikan dapat membantu perkara yang perlu untuk membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan.

“Saya melawat Kota Marudu, Pitas, Telupid dan Tongod untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan sekolah sama ada sudah bersedia untuk dibuka pada 10 Januari ini.

“Tapi kita dimaklumkan di daerah Telupid saja ada beberapa sekolah digenangi air. Di Kota Marudu semuanya sudah surut, bagaimanapun di Pitas masih ada tiga sekolah digenangi air dan laluan tidak dapat dimasuki kenderaan kecil.

“Jadi saya melihat keadaan ini amat penting kerana sesi persekolahan akan bermula 10 Januari ini dan kita minta kepada PPD daerah Pitas, Kota Marudu dan Telupid untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan kita,” katanya selepas meninjau sekolah terjejas banjir di Kota Marudu dan Pitas.

Mohamad berkata, sekiranya cuaca buruk masih berterusan, Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah awal yang perlu dibuat oleh Guru Besar, Pengetua dan pentadbir sekolah apabila berhadapan dengan banjir.

Katanya, garis panduan itu perlu dipatuhi supaya kementerian dapat membantu menyelesaikan segera masalah yang boleh menjejaskan sesi persekolahan.

Sembilan daerah di pantai timur dan utara negeri ini dilaporkan terjejas akibat banjir sejak minggu lalu iaitu Kota Marudu, Pitas, daerah kecil Paitan, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Ranau dan Lahad Datu.

Daerah Kota Marudu paling terjejas dengan lebih 2,600 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga petang semalam, diikuti Pitas lebih 300 mangsa dan Telupid lebih 200 mangsa.

Sumber: Berita Harian