PPIK rayu masjid dapat dibuka ikut kapasiti, SOP ketat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) merayu agar pihak berkaitan dapat mempertimbangkan kebenaran operasi bagi masjid besar di seluruh daerah negeri ini mengikut kapasiti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Yang Dipertua PPIK Datuk Seri Mohd Fared Abdul Ghani berkata, jika dibenarkan beroperasi, SOP di masjid itu nanti boleh diperketatkan lagi bagi memastikan keselamatan jemaah terus terjamin ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Contohnya, memberi keutamaan kepada jemaah yang sudah lengkap vaksinasinya iaitu sebanyak dua dos selain memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Selain itu, amalan sanitasi masjid setiap waktu selepas setiap kali mengerjakan ibadat solat juga boleh dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru golongan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil membantu menyalurkan dana kepada masjid yang berdepan masalah kewangan bagi menyediakan kemudahan untuk tujuan berkenaan.

Menurutnya lagi, dana yang diperlukan mungkin meliputi kos peralatan sanitasi termasuk bayaran elaun kepada pekerja berkaitan.

“Sudah tiba masanya masjid dibuka mengikut SOP ketat selepas kira-kira empat bulan ia hanya beroperasi dengan empat orang jemaah sahaja,” katanya.

Mohd Fared berkata, situasi semasa kini mewajarkan masjid perlu dibuka agar dapat diimarahkan memandangkan beberapa sektor awam sudah dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, PPIK berasa bertanggungjawab berikutan rungutan orang ramai yang meminta agar kerajaan segera membenarkan sembahyang jemaah di masjid mengikut kapasiti dengan mematuhi SOP ditetapkan.

“Pasar raya dan kedai makan sekarang sudah dibenarkan beroperasi dengan pelanggan yang sudah lengkap vaksin boleh makan di dalam premis begitu juga pelancongan domestik maka tidak ada sebab masjid belum boleh dibuka lagi.

“Kalau diambil kira tempat seumpama itu pastinya akan lebih sesak bahkan selalunya mereka akan mengambil masa yang lebih lama di situ berbanding masjid yang hanya memakan masa tidak sampai 20 minit untuk selesaikan ibadat solat,” katanya.

Sumber: My Metro