PPK Gua Musang Hasilkan Lebih 4,000 Timun, Halia Guna Kaedah Fertigasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang telah menghasilkan lebih 4,000 tanaman timun dan halia dengan menggunakan kaedah fertigasi gantung di sekitar kawasan pejabat tersebut.

Pengurus Besarnya, Mohd Zulharman Zakaria berkata projek tani tersebut mendapat peruntukan RM80,000 daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) kerana tanaman ini mudah diselenggara dan jimat tenaga.

“Projek fertigasi gantung ini diusahakan di dalam kawasan pejabat sekali gus dapat memperkenalkan kaedah tanaman ini kepada ahli PPK dan penduduk setempat yang datang ke sini.

“Kelebihan teknik fertigasi gantung ini adalah mudah untuk dijaga dari segi baja malah pengairannya juga lebih efisien dan menjimatkan penggunaan tenaga buruh,” katanya ketika ditemui pemberita di PPK Gua Musang hari ini.

Sementara itu, Pengurus Projek PPK Gua Musang Abu Mohsein Setapa berkata projek itu mula dijalankan pada Disember tahun lalu dengan melibatkan seramai 10 ahli PPK yang bertujuan menjana pendapatan mereka.

“Kaedah fertigasi gantung tersebut dapat menghasilkan timun yang berkualiti malah mampu menjana pendapatan lumayan kerana  harga sayuran berkenaan baru-baru ini mencecah RM6 sekilogram.

“Malah, sebanyak 2,000 biji timun berjaya mengeluarkan hasil lebih 100 kilogram sehari sejak akhir bulan lalu dan kami menjangkakan hasil tuaian keseluruhan tanaman ini mampu mencecah sehingga tujuh tan,” katanya yang berharap orang ramai turut serta mengusahakan tanaman fertigasi di kawasan rumah mereka.

– BERNAMA