TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas pelbagai peralatan rokok elektronik dianggarkan bernilai RM519,300, semalam.
Rampasan dibuat pada 5 petang di sebuah kedai kosong di Kampung Simpangan, di sini, yang dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum diseludup ke Thailand.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam penugasan Op Landai/Op Kontraban, anggotanya menerima aduan sebelum menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan.
“Apabila sampai di premis itu, didapati pintunya tidak berkunci dan tiada penghuni sebelum anggota kami masuk bagi menjalankan pemeriksaan.”
“Hasil pemeriksaan menemui sejumlah pod vape, katrij serta cecair untuk kegunaan rokok elektronik itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM519,300,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Norzaid berkata, pihaknya turut menunggu hampir satu jam, namun tiada sesiapa tampil untuk mengaku sebagai pemilik kepada barangan itu.
Menurutnya, kesemua barang rampasan dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.
“Kami percaya semua barangan rampasan ini akan diseludup ke Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO