PPN FASA 3: LEBIH BANYAK KELONGGARAN DIBERIKAN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 nanti akan menyaksikan kelonggaran yang lebih banyak diberikan terutamanya kepada aktiviti sosial.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Encik Zairasyahli Syah Zakaria berkata, Pahang telah bersedia untuk masuk ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3 jika ia diumumkan dalam masa terdekat.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, YBhg. Encik Zairasyahli Shah Zakaria

“Jika diteliti, Prosedur Operasi Standard (SOP) PPN Fasa 3 tidak begitu berbeza dengan Fasa 2. Jadi kita telah pun menjalani kehidupan yang dibiasakan dengan SOP ditetapkan.

“Contohnya, kalau dari awal dulu pasar malam, pasar tani dan pasar minggu hanya dibenarkan pada PPN Fasa 3, tapi kerajaan telah awalkan kebenaran itu dengan syarat lengkap vaksinasi dan ia dibawa ke PPN Fasa 2,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Katanya lagi, antara kelonggaran yang diberikan pada PPN Fasa 3 ialah penganjuran mesyuarat secara bersemuka dengan syarat kapasiti sebanyak 50 peratus.

“Program-program juga boleh dibuat tapi dengan jumlah kapasiti sama iaitu 50 peratus.

“Cuma apa yang ingin kita bincangkan ialah kehadiran mesyuarat dan program-program tersebut mestilah melibatkan individu yang dah lengkap syarat vaksinasi,” katanya.

Selain itu katanya, penguatkuasaan SOP yang ketat akan diteruskan serta usaha meningkat kadar vaksinasi di negeri ini juga akan terus dilakukan.

“Kita dah buat engagement dengan komuniti-komuniti termasuk persatuan-persatuan pasar untuk kawalan dari segi SOP.

“Mungkin dari segi persediaan lebih kepada pemimpin-pemimpin komuniti sebab apabila program dibenarkan, secara tak langsung majlis-majlis sosial pun kemungkinan akan dibenarkan.

“Apa yang penting adalah kawalan oleh ketua atau pemimpin setempat, apabila buat majlis atau kenduri kendara contohnya, JKKK kena pastikan SOP dipatuhi dengan sepenuhnya,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA