PPN Fasa 4: Majlis, Kenduri Jadi Tumpuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Penugasan Polis Kelantan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih sama meskipun negeri ini bakal beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan berkuat kuasa, esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, tumpuan akan diberikan kepada penganjuran majlis atau kenduri yang dijangka banyak akan diadakan nanti.

“Kita percaya selepas ini banyak kenduri akan dianjurkan. Oleh itu, kita akan bersama-sama dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat pemantauan.

“Penugasan masih tetap sama kerana kita melihat di negeri yang sudah beralih kepada fasa empat sekalipun masih ada tindakan yang dikenakan untuk kesalahan pematuhan SOP,” katanya ketika sidang media di Dewan Taming Sari, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu antara Superintendan Mohd Suhaimi Ali sebagai pemangku menggantikan Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud yang bersara mulai hari ini.

Shafien berkata, walaupun mungkin akan ada kelonggaran dalam SOP fasa empat, orang ramai diingatkan supaya tidak leka kerana masyarakat masih berdepan dengan cabaran baharu iaitu wujudnya varian Omicron.

Katanya, rakyat di negeri ini menunjukkan tahap yang sangat tinggi dari segi pematuhan SOP terutama golongan muda sama ada di kawasan bandar atau di bandar kecil.

“Dari segi SOP, apa yang negeri di fasa empat guna, itulah yang akan kita guna pakai bermula esok. Cuma apa yang penting, perlu kekal terhadap pematuhan SOP,” katanya.

Apabila ditanya mengenai perkembangan banjir di negeri ini, jumlah mangsa terkorban agak rendah iaitu empat orang. Beliau menyifatkan orang ramai amat berwaspada dengan kejadian banjir ini.

Menurutnya, budaya menjadikan banjir sebagai pesta air juga sudah tidak kelihatan. Ini membuktikan orang ramai mula mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap bahayanya banjir dan mementingkan keselamatan diri.

“Sehingga hari ini, jumlah kematian masih sama iaitu empat kes. Walaupun kejadian berlaku di waktu banjir tapi tidak bermakna ia korban banjir,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO