PPR Bukit Nanas Siap Dibina, Tawar Unit Untuk OKU

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
PowerPoint Presentation

KUALA TERENGGANU – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Nanas, Kuala Nerus yang kini sudah siap dibina menawarkan lima unit khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Nor Sophia Azura Mohd Husin berkata, pihaknya kini dalam proses membuat tawaran jualan bersubsidi kepada penduduk setempat.

Katanya, pemohon yang tinggal atau berasal dari Kuala Nerus akan diutamakan selain individu berkenaan mestilah berumur  21 tahun ke atas.

“Bagi pemohon yang berumur melebihi 50 tahun boleh dipertimbangkan dengan syarat mempunyai jaminan bayaran daripada ahli keluarga.

“Sudah berkahwin dan berpendapatan bulanan tidak melebihi RM2,500, bagi mereka yang masih bujang boleh juga memohon kerana ada kouta bagi golongan itu sebanyak 10 peratus.

“Pemohon dan pasangan belum pernah memiliki rumah , tidak pernah menerima tanah anugerah kediaman daripada pihak kerajaan,” katanya ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Selain itu, menurut Nor Sophia, isteri kedua, ketiga atau keempat layak dipertimbangkan sekiranya mempunyai pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Untuk rekod, projek PPR Bukit Nanas yang siap dibina pertengahan tahun ini, mempunyai enam blok bangunan setinggi lima tingkat dengan bilangan 500 unit kediaman dengan saiz setiap unit rumah berukuran 700 kaki persegi.

Pelbagai kemudahan turut disediakan antaranya  pusat perniagaan, tadika, taska, balai komuniti, surau, taman permainan, dan tapak penjaja.

Permohonan dibuka mulai 21 September lalu dan ditutup sehingga 31 Disember ini.

Mereka yang berkelayakan boleh memohon melalui portal https://eperumahan.terengganu.gov.my sebelum 31 Disember ini.

Sumber: TRDI News