PPS banjir, 750 mangsa dipindahkan ke PPS baru

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Seramai 750 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau terpaksa dipindahkan berikutan premis terbabit dinaiki air.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Durian Mentangau, Mohd Suhaimi Shamsudin berkata, semua mangsa banjir itu dipindahkan ke PPS baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan FELDA Kerteh 3.

Menurutnya, kerja-kerja memindahkan semua mangsa sedang giat dilakukan membabitkan bantuan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta bantuan daripada Bandan Bukan Kerajaan NGO serta penduduk kampung.

“Semua mangsa yang terdiri daripada penduduk Durian Mentangau mula berpindah ke PPS ini sejak kelmarin dan air mula naik ke PPS ini sejak awal pagi tadi.

“Air semakin naik sehingga dua meter di PPS ini kira-kira jam 1 tengah hari tadi sebelum keputusan dibuat agar mereka dipindahkan ke PPS lain dengan segera,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 20 bot daripada pasukan penyelamat termasuk penduduk kampung digunakan untuk mengangkut mangsa dengan jarak dua kilometer.

“Sebaik tiba di darat, semua mangsa kemudiannya dibawa menaiki lori ke PPS baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan FELDA Kerteh 3 yang jaraknya terletak kira-kira 10 kilometer dari sini,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, seramai 1,200 penduduk di kawasan itu terkesan dengan banjir pada kali ini dan masih ramai penduduk mendaftar untuk berpindah.

“Banjir pada kali ini lebih buruk berbanding tahun 2014 dan kita berharap PPS baru ini mampu menempatkan jumlah mangsa banjir terbabit,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN