PPS Pertama di Kelantan Dibuka di Rantau Panjang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, di sini hari ini, PPS pertama beroperasi di Kelantan susulan banjir yang melanda kawasan itu malam tadi.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas, Azizan Aziz, berkata seramai 33 mangsa membabitkan enam keluarga berpindah ke PPS berkenaan sejak jam 7 pagi tadi, iaitu 21 dewasa dan 12 kanak-kanak dari Kampung Bendang Perol, antara penempatan paling rendah dan awal dinaiki air.

“Ia kali kedua PPS terbabit dibuka tahun ini selepas 18 November lalu, malah kami menerima mangsa banjir yang sama tanpa pertambahan keluarga baharu setakat ini. Semua mangsa akan menjalani ujian kesihatan bagi mengelak penularan COVID-19 selain sentiasa diingatkan menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Mereka bukan sahaja perlu memakai pelitup muka setiap masa, malah susunan khemah yang disediakan adalah pada jarak yang ditetapkan sejajar dengan kawalan penjarakan fizikal yang perlu diamalkan di PPS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa banjir di PPS SK Gual To’Deh turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Paduka Mohamad Awang, hari ini.

Seorang daripada mangsa bencana itu, Nurul Atikah Abd Rashid, 21, berkata dia bersama suami, Zulhilmi Abu Halim, 32, serta adik, Nurul Syuhada Nurul Ain, 12, terpaksa mengharungi banjir sedalam setengah meter sambil mendukung anaknya berusia dua tahun pada awal pagi untuk menyelamatkan diri.

“Kami redah banjir sambil membawa beberapa pakaian dan dokumen penting memandangkan rumah kami sudah dimasuki air separas 0.3 meter. Ini kali kedua kami berpindah ke PPS tahun ini selepas pertengahan November lalu. Kami perlu keluar lebih awal kerana rumah boleh dinaiki air sehingga satu meter.

“Kami sudah biasa dengan situasi banjir kerana hampir setiap tahun melalui pengalaman ini, namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak berlaku insiden tidak diingini,” katanya.


Sumber: BERITA HARIAN