PPS SK Gual To’Deh dibuat kali kedua

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh, di sini, hari ini susulan banjir melanda kawasan itu sejak malam semalam.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas, Azizan Aziz, berkata seramai 33 mangsa membabitkan enam buah keluarga berpindah ke PPS berkenaan sejak 7 pagi tadi.

Katanya, jumlah itu membabitkan 21 dewasa dan 12 kanak-kanak dari Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh di mana antara penempatan di kawasan rendah yang mudah dinaiki air.

“Ia adalah kali kedua PPS terbabit dibuka pada tahun ini selepas kali pertama pada 18 November lalu. Malah, kami menerima mangsa banjir yang sama tanpa pertambahan keluarga baharu setakat ini.

“Kesemua mangsa akan menjalani ujian kesihatan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 selain sentiasa diingatkan untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Kesemua mangsa banjir di PPS SK Gual To’Deh turut menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gual Periok Datuk Mohamad Awang.

Sementara itu, mangsa, Nurul Atikah Abd Rashid, 21, berkata doa terpaksa mengharungi banjir setinggi 0.5 meter sambil mendukung anaknya berusia dua tahun pada awal pagi untuk menyelamatkan diri.

“Saya bersama suami, Zulhilmi Abu Halim, 32, serta adik, Nurul Syuhada Nurul Ain, 12, meredah air sambil membawa beberapa pakaian dan dokumen penting memandangkan rumah kami sudah dimasuki air setinggi 0.3 meter.

“Sebenarnya sudah kali kedua kami berpindah ke PPS itu untuk tahun ini selepas rumah dilanda banjir pada pertengahan November lalu.

“Kami sudah biasa dengan situasi banjir kerana hampir setiap tahun melalui pengalaman ini, namun tetap mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tidak berlaku insiden tidak diingini,” katanya.

Sumber: My Metro