Kuala Lumpur: “Saya terkejut melihat orang ramai sudah sedia beratur seawal jam 10 pagi untuk ke pusat beli-belah walaupun premis berkenaan belum dibuka,” kata Sharifah Mahmud, 46.
Sharifah yang juga suri rumah berkata, dia bersama suaminya tiba di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada jam 9.30 pagi semalam untuk membeli keperluan raya.
“Saya dan suami memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi bagi mengelak kesesakan. Namun apabila tiba jam 9.30 pagi, saya lihat sudah ada orang beratur untuk memasuki pusat beli-belah ini meskipun ia belum dibuka lagi.
“Saya dimaklumkan orang semakin ramai menjelang petang dan malam. Disebabkan itu, saya memilih untuk membeli-belah pada waktu pagi namun keadaan agak sesak juga terutama menjelang tengah hari,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi pengunjung di Jalan Tunku Abdul Rahman, Zulkifli Abdullah, 34, berkata, kehadiran orang ramai dengan jumlah yang besar menyebabkan dia lebih selesa menunggu isterinya di luar pusat beli-belah berkenaan.
“Saya lihat ramai orang di dalam pusat beli-belah itu sejak pagi tadi dan semakin lama jumlahnya semakin bertambah menjelang tengah hari.
“Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta beratur sebelum memasuki premis.
“Malah, kita dapat lihat anggota polis mahupun anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap melakukan rondaan di sekitar kawasan ini (Jalan Tuanku Abdul Rahman),” katanya yang juga kakitangan awam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menambah dua kali ganda jumlah anggota bagi melakukan pemantauan di lokasi berkenaan berbanding hari biasa.
“Lebih 300 anggota dikerahkan untuk melakukan pemantauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada cuti umum, hujung minggu serta hari-hari akhir Ramadan disebabkan jumlah pengunjung yang ramai pada waktu itu.
“Jumlah keanggotaan itu hanya membabitkan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan tidak termasuk anggota trafik serta anggota penguatkuasa DBKL yang turut ditugaskan untuk melakukan pemantauan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mohamad Zainal berkata, hasil pemantauan dilakukan pihaknya, dianggarkan kira-kira 30 hingga 70 kompaun dikeluarkan secara purata setiap hari di kawasan berkenaan atas kesalahan pelanggaran SOP.
“Antara kesalahan dikenakan kompaun di kawasan berkenaan adalah tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan memandangkan kita masih lagi di dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
“Selain itu, orang ramai disarankan supaya tidak membawa anak kecil ke kawasan sesak bagi mengelak risiko jangkitan kepada anak-anak,” katanya.
Sumber: My Metro