Presiden FDAM ‘Mat London’ Meninggal Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada kira-kira 5.57 pagi tadi.

Mengesahkan perkara tersebut, anaknya Salmany Akir Ahmad, 42, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun, akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL sejak 16 Jun.

Beliau berkata jenazah bapanya akan dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Taman Melawati selepas solat Jumaat.

Salmany berkata Allahyarham merupakan seorang bapa yang penyayang dan sering memastikan keluarganya berkumpul ketika majlis atau perayaan, meskipun anak-anak duduk berasingan.

“Saya duduk paling dekat dengan arwah, jadi kalau arwah tiada apa-apa aktiviti kami akan pergi minum bersama. Arwah seorang bapa yang penyayang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Salmany Akir berkata Allahyarham seorang seniman yang sentiasa menjaga kebajikan rakan industri kreatif dan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19, beliau berjuang untuk memastikan anak seni terus dibenarkan berkarya.

— BERNAMA