Presiden Peka Mengaku Tidak Bersalah Duduki Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB – Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil didapati mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran tahun lepas.

Shariffa Sabrina berusia 60 tahun yang hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarga dan rakan, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Beliau telah didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 petang bertarikh 10 dan 11 Jun 2021 dengan menduduki tanah di Lot 26148, GM 4135 di Mukim Bentong Lot 1053, PM0053 Mukim Ulu Dong dan Lot 10061, GM1572 Mukim Tras kedua-duanya di Raub tanpa kebenaran yang sah.

Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Izzat Ikhwan Abu Bakar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, selain memohon perintah tegahan terhadap OKS supaya tidak membuat kenyataan berkaitan kes itu kepada pihak ketiga termasuk di media sosial.

Katanya, sejak saman diserahkan kepada OKS pada 27 Januari lepas, OKS telah membuat kenyataan di media sosial mengenai kes ini di Facebook dan di ruangan komen seolah-olah OKS membuat andaian seperti tidak bersalah.

Peguam Mohd Harris Mohan mewakili Shariffa Sabrina memohon jumlah jaminan tersebut  dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri setelah berniaga selama 12 tahun di tanah menjadi subjek pertuduhan tersebut.

Beliau berkata, tiada sebarang masalah yang berlaku setakat ini dan OKS juga telah banyak mendatangkan hasil kepada kerajaan Pahang. OKS juga merupakan seorang yang terkenal dan banyak menerima anugerah, maka tiada kemungkinan untuk melarikan diri.

Menurut peguam Rajesh Nagarajan turut mewakili Shariffa Sabrina berkata, permohonan itu perlu dibuat secara rasmi dengan notis diberikan kepada pihak pembelaan bagi membolehkan mereka bersedia dengan hujahan dan bukan secara lisan.

Selepas mendengar bantahan itu, Ahmad Faizadh berkata, walaupun tiada perintah dikeluarkan setakat ini, namun pihak terlibat tidak boleh membincangkan kes di luar mahkamah secara umum sementara pihak pendakwaan memfailkan pemohonan itu secara rasmi.

Beliau juga berkata, ia membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan pada 25 April ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Sumber: BERNAMA