PRK: Proses Penamaan Calon Lancar, Tiada Insiden Dilaporkan – Ketua Polis Johor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JOHOR BAHRU – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang berlangsung pagi ini, berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden dilaporkan.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kedua-dua pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, dan Muar, yang turut dihadiri ribuan penyokong beberapa parti politik, turut dilaporkan dalam keadaan tenang serta terkawal.

“Pemantauan pihak polis dari bilik gerakan menunjukkan keadaan tenang dan tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada proses penamaan calon Parlimen Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya mengingatkan para calon, penyokong serta pemimpin parti politik agar terus mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan, terutama ketika berkempen.

Selain itu, beliau turut memberi amaran keras supaya semua pihak tidak menyentuh perkara berkaitan 3R (isu agama, raja dan kaum) ketika berkempen dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya ingkar.

Kamarul Zaman berkata setakat ini masih belum ada pihak yang memohon permit untuk mengadakan ceramah dan kempen bagi kedua-dua kawasan PRK berkenaan.

“Dalam tempoh berkempen ini mohonlah permit. Insya-Allah, kita akan berikan jawapan dan berikan kebenaran, jadi ikutlah peraturan yang telah ditetapkan,” katanya

PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK itu pada 9 Sept manakala pengundian awal pada 5 Sept.

— BERNAMA