‘PRN Ini Adalah Penggal Terakhir Saya’ – MB Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, menyatakan pencalonannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini adalah yang terakhir.

Ahmad berkata, pencalonannya sebagai calon DUN Pasir Pekan ini memasuki penggal ketujuh dan sudah tiba masanya memberi laluan kepada calon lain yang lebih muda selepas ini.

Beliau menyifatkan pembabitan dalam politik seperti kitaran yang mana perlu berkorban sekiranya sudah mencapai tahap keupayaan yang semakin perlahan.

“Saya sudah masuk penggal ketujuh dan kalau langit pun ada tujuh lapis, cukuplah tu. Lepas ini, Insya Allah dok doh (cukuplah), kita bagi kepada orang muda.

“Politik ini macam kitaran. Bukan sebagaimana kerja kerajaan yang ada tempoh tapi kerja politik ini (bergantung kepada) upaya yang kita akan korban.

“Kita dalam Pas tak akan ‘cah keting’ walau ada parti cah keting, tapi kena ada pengorbanan. Yang ‘tak rok’ (tak berupaya tu duduk belakang” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sama ada akan berkempen dengan bersungguh-sungguh atau kekalkan momentum seperti biasa menjelang ini, beliau berkata, sudah pasti akan berkempen seperti pilihan raya sebelum ini.

Beliau berkata, walaupun penggal terakhir, perjuangan bersama parti tetap diteruskan malah sudah mula melatih barisan pelapis yang terdiri daripada kalangan orang muda untuk menggantikan pemimpin sedia ada suatu hari nanti.

“Perjuangan saya untuk PRN yang terakhir ini mesti kena kuat, tua buat cara tua.

“Dalam Pas sentiasa ada pelapis yang dilatih untuk menjadi pemimpin berakhlak baik dan berpenampilan bagus,” katanya.

Beliau terdahulu hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah di sini, untuk proses penamaan calon dan beliau akan bertembung dengan calon Pakatan Harapan, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim dari PKR.

– BERITA HARIAN