Produk tak lulus KKM bernilai setengah juta dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Chuping merampas sejumlah besar makanan dan minuman bernilai lebih RM500,000 kerana tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Padang Besar, di sini, semalam.

Rampasan dilakukan selepas anggota AKSEM menahan dua lori serta pemandu dan kelindan yang berusia antara 19 hingga 29 tahun.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, kejadian jam 12.15 dan 12.20 tengah hari apabila kedua-dua lori dari syarikat ejen ‘forwarding’ jenis Isuzu itu sedang menghampiri sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 24, Jalan Ulu Pauh-Padang Besar.

“Anggota kami yang bertugas ternampak dua lori barang yang sedang menghampiri SJR itu dan sebaik tiba di SJR itu, kami segera menahan mereka untuk memeriksa kandungan muatan yang dibawa.

“Pemeriksaan pada lori berkenaan menjumpai pelbagai jenis makanan dan minuman seperti keju, minuman ringan dan minuman kesihatan di mana kesemuanya dipercayai berasal dari luar negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemeriksaan selanjutnya mendapati bahan makanan dan minuman ini tidak mempunyai kelulusan daripada KKM.

“Kita percaya makanan dan minuman berkenaan cuba dibawa ke Thailand menggunakan lori syarikat ejen ‘forwarding untuk pasaran di negara berkenaan.

“Kita terpaksa rampas barang makanan ini serta menahan pemandu dan kelindan lori berkenaan untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia KKM Padang Besar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Rampasan termasuk lori dianggarkan bernilai RM545,053.90 dan kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983.

Sumber: My Metro