Program Candat Sotong 2022 Berjaya Tarik Penyertaan Luar Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Program Candat Sotong Terengganu kali ini berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara iaitu peserta dari Romania, Australia dan Indonesia sejak diperkenalkan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata ia adalah perkembangan positif susulan promosi berterusan yang dilaksanakan bagi menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

Tambahnya lagi, Ia adalah selaras dengan usaha bagi menyemarakkan kembali sektor pelancongan selepas sektor berkenaan suram hampir dua tahun sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

“Sejak aktiviti berkenaan dijadikan produk pelancongan, jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu berlipat kali ganda sepanjang tempoh mencadat sotong iaitu bermula April hingga September”, katanya.

Menurut Ariffin, program tersebut sebelum ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia.

Ariffin ditemui pada majlis perasmian dan pelepasan Program Candat Sotong sempena Fiesta Candat Sotong Terengganu 2022 di Marang.

Menurut Ariffin program itu melibatkan penyertaan kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada penggiat industri pelancongan dan pengamal media dengan 30 buah bot di kawasan perairan Pulau Kapas.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM