KUALA TERENGGANU: Inisiatif Dapur Kampung Prihatin (DKP) yang dicetuskan penduduk Kampung Pulau Manis di sini berjaya membantu hampir 60 keluarga yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Wakil penduduk, Mohd Rafi Kori berkata sumbangan berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, gula di samping ikan segar itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan dalam tempoh yang sukar ini.
Katanya, kesemua barangan itu hasil sumbangan orang ramai bukan sahaja dalam kalangan penduduk kampung, malah komuniti dari daerah lain.
“Sejak dilancarkan pada minggu lalu, hampir 60 keluarga sudah mendapat manfaat daripada bantuan DKP yang diluruskan sukarelawan dan belia Kampung Pulau Manis.
“DKP kali ini merupakan kesinambungan daripada program yang dimulakan pada PKP 1.0 lalu dengan kosnep yang sama iaitu penghantaran dari rumah ke rumah,” katanya.
Menurut Mohd.Rafi, baru -baru ini terdapat individu prihatin yang menyumbangkan seekor lembu untuk diagihkan dagingnya kepada penduduk kampung dan kawasan sekitar.
“Usaha murni ini akan diteruskan bukan sahaja untuk kebajikan penduduk kampung, malah dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia.