Program Kebudayaan, Sukan Rakyat Perlu Diperbanyakkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BERA : Program kebudayaan dan sukan rakyat perlu diperbanyakkan bagi mempromosikan produk budaya kepada penduduk dan pelancong.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti-aktiviti kebudayaan ini perlu dijadikan acara mingguan di setiap daerah.

“Lebih banyak program-program seperti ini diadakan di setiap daerah, jadi bukan sahaja program rasmi di Kementerian tapi di peringkat daerah.

“Aktiviti-aktiviti di daerah boleh dilaksanakan sebagai acara mingguan dan sebagainya supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Keluarga Malaysia ‘Hogoh Bera 2020’ di Felda Kumai di sini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), YB Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau turut mencadangkan supaya aktiviti sukan tradisional dan kebudayaan ini diadakan di tempat khusus bagi memudahkan untuk menarik perhatian pelancong.

“Jadi kalau boleh adakan tempat khusus untuk sukan rakyat ini. Tempat yang khusus main galah panjang dan sebagainya. Dan pertunjukan itu diadakan katakan setiap minggu.

“Katakan di Bera, kita ada Dataran Kerayong. Dan saya yakin ramai orang akan tengok. Dan pelancong-pelancong yang datang juga boleh terlibat sama. Bera ni ramai jugak pelancong yang datang setiap masa, jadi boleh melihat permainan-permainan rakyat ini.

“Dan dalam masa yang sama saya juga sebut yang perlu ada pertunjukan tetap, pertunjukan kebudayaan yang tetap. Jadi orang tahu Sabtu malam minggu, ada je program di sini. Jadi ini tujuan kita untuk kita mempengerusikan produk budaya kita kepada bukan sahaja masyarakat setempat tetapi juga pelancong dari negeri-negeri lain,” katanya.

Mengulas mengenai peruntukan bagi menjalankan aktiviti ini secara tetap, beliau berkata pihaknya akan meminta Kementerian Pelancongan untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan dari segi perbelanjaan.

Sumber: PAHANGMEDIA