Projek Agropolitan Komitmen Kerajaan Negeri Demi Keselesaan Rakyat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Kegembiraan yang terpancar di wajah penerima hak milik rumah Projek Agropolitan di daerah ini cukup jelas membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi keselesaan hidup kepada rakyat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek Agropolitan secara besar-besaran di Parlimen Pekan melibatkan 297 peserta adalah ilham daripada kerajaan pada tahun 2009.

“Hari ni mereka dapat geran rumah yang tanahnya Kerajaan Negeri sediakan dan peruntukan daripada Kerajaan Pusat di mana ketika itu di bawah kepimpinan YB. Dato’ Sri Najib Tun Razak yang merupakan Ahli Parlimen Pekan.

“Usaha ini telah mengeluarkan mereka daripada lingkaran kemiskinan daripada sebelum ini mereka tidak mempunyai peluang pekerjaan dan tempat tinggal yang sempurna, namun dengan adanya Projek Agropolitan ini, mereka boleh menjana pendapatan ekonomi dan dalam masa sama mendiami sebuah rumah yang agak selesa berbanding sebelum ini,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail Hak Milik Rumah kepada peserta Projek Agropolitan Pekan (PAP) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) pada Majlis Penyerahan Hak Milik Rumah kepada 297 orang peserta Projek Agropolitan Pekan (PAP) di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Razihan Adzharuddin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Encik Baidzawi Che Mat, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli serta pemimpin setempat.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, tumpuan terhadap keperluan rakyat tidak pernah diabaikan malah menjadi agenda utama dalam setiap usaha yang ingin dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri sentiasa memikirkan pembangunan ekonomi dan masyarakat, ia tidak pernah terhenti setakat itu (projek) sahaja tetapi mungkin (akan terhasil) dalam pelbagai bentuk yang lain pula,” katanya.

Di Pahang, seramai 374 peserta termasuk 62 Orang Asli telah mendapat manfaat daripada projek ini yang mempunyai dua aktiviti ekonomi utama iaitu penternakan biri-biri Dorper di Batu 8 dan Runchang dan ladang sawit di Tanjung Batu.

Terdahulu, seramai 77 peserta telah menerima suratan hak milik rumah masing-masing pada tahun 2017 dan 2018. Tanah untuk rumah tersebut telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dan para peserta hanya perlu membayar proses pemprosesan minimum sebanyak RM636 bagi rumah bernilai lebih RM150,000 itu.

Sumber: PAHANGMEDIA