Projek Ecrl Kelantan Dijangka Siap Enam Bulan Lebih Awal

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan dijangka siap enam bulan lebih awal berbanding tempoh asal iaitu pada Januari 2027.

Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacob berkata dari segi kemajuan projek, setakat ini ia telah mencapai 61.97 peratus melibatkan 1,500 tenaga kerja.

Katanya kemajuan projek ketika ini melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, penambatan, pemasangan cerucuk selain pembinaan stesen pertama ECRL di negeri ini juga telah dimulakan.

“Kita yakin projek ini mampu disiapkan enam bulan lebih awal daripada tempoh asal memandangkan kemajuan kerja yang dilaksanakan oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dan Malaysia Rail Link (MRL) adalah lebih cepat daripada mengikut jadual.

“Kesungguhan yang dipamerkan oleh CCCC dan MRL selain kecanggihan teknologi yang digunakan dalam melaksanakan projek ini menjadi antara penyumbang ia dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Lawatan Teknikal di Tapak ECRL Stesen 1 di Kampung Jerus, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Projek Eksekutif Seksyen 1 CCCC Wang Guan Chao dan Pengurus Pembinaan Wilayah MRL Seksyen 1, 2 dan 3, Wan Adnan Wan Mat.

Nik Soh berkata teknologi yang dibawa CCCC itu bukan sahaja menjimatkan masa malah tenaga kerja dan bahan buangan.

“Dari segi proses fabrikasi besi ia menggunakan teknologi baharu yang dapat menjimatkan masa dan juga tenaga kerja. Selain itu, kebersihan juga dapat dijaga sekali gus dapat mengurangkan bahan buangan yang dihasilkan,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata kemudahan tersebut dilihat dapat digunakan oleh masyarakat lebih awal daripada jangkaan terutama apabila Kelantan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026.

— BERNAMA