Bera: Sejak 12 tahun lalu, Ridzuan Khalid lebih banyak menghabiskan masanya di kampus, malah menjadi kebiasaannya tampil segak dengan memakai kemeja dan bertali leher seiring dengan kerjayanya sebagai pensyarah.
Kini, kehidupan pensyarah bidang perhotelan Kolej Komuniti Rompin, Pahang itu berubah apabila tidak hanya mengajar, tetapi juga menjadi penternak lembu di ladang dekat Felda Bukit Kepayang di sini, sejak Mac lalu.
Berbekalkan modal sebanyak RM10,000, Ridzuan, 38 membeli tiga ekor lembu dan wang itu juga digunakan bagi membina kandang.
“Sebenarnya, emak (Sapiah Arshad, 67) yang beri sokongan serta beri tambahan modal untuk saya ceburi bidang ini.
“Selain mencari pendapatan sampingan, saya nekad melabur wang simpanan bagi menghargai pengorbanan adik kerana sanggup tinggal di kampung (Hanafi Khalid, 34) untuk menjaga emak serta arwah abah (Khalid Maarop) yang baru meninggal dunia Februari lalu ketika saya dan adik beradik lain bekerja di luar.
“Jadi, saya cuba beri jalan kepada adik untuk jana pendapatan bersama dengan mengusahakan ladang lembu dan turut membantunya selepas waktu kerja, kebiasaannya pada hujung minggu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut, anak kelima daripada sembilan beradik itu mengakui tiada asas dan pengetahuan dalam soal penjagaan lembu.
Oleh kerana itu, Ridzuan mengambil inisiatif menimba ilmu daripada pengusaha ladang lembu berpengalaman di kampungnya selain mendapatkan bantuan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk memberi khidmat nasihat.
“Tak dinafikan susah dan mencabar pada mulanya kerana tiada ilmu dalam bidang ini.
“Jujurnya, saya sendiri takut berada dekat dengan lembu sebelum ini, tetapi cuba belajar cara mengendalikannya termasuk dengan menonton video di Youtube.
“Kini, lembu peliharaan juga semakin jinak dan manja kerana sudah kenal saya tuannya cuma sejak ceburi bidang ini, gaya hidup saya banyak berubah malah pendapatan bulanan didahulukan untuk membeli keperluan haiwan ternakan,” katanya.
Berhubung perkongsiannya di TikTok yang mendapat perhatian ramai, Ridzuan berkata, akaun platform itu asalnya dibuka untuk menilai tugasan diberikan kepada penuntutnya bagi subjek Promosi Jualan, Makanan dan Minuman serta Front Office.
Bagaimanapun, sambutan baik diterima dan peluang berkongsi ilmu kepada pengikut mendorongnya Ridzuan aktif di platform itu sehingga kini.
“Pada mulanya, saya hanya ada 50 pengikut saja, itu pun dalam kalangan penuntut yang diberikan tugasan memuat naik video menarik di TikTok bagi menguji kebolehan mereka menonjolkan diri.
“Bagi memberi kefahaman kepada penuntut, saya turut sama memuat naik video supaya mereka boleh jadikan rujukan dan lihat bagaimana saya lakukannya.
“Kebanyakan rakaman video dibuat di kampung dan Alhamdulillah, ramai beri komen positif malah gembira kerana perkongsian saya mengubati kerinduan mereka yang kini tidak dapat merentas negeri.
“Cuma, ada yang tidak menyangka saya seorang pensyarah kerana kebanyakan video menunjukkan aktiviti saya di ladang bersama lembu,” katanya yang dikenali dengan nama Sir Ladang dalam kalangan pengikut di TikTok dan mempunyai lebih 25,000 pengikut di platform itu.
Ridzuan berharap, kisah dan perkongsiannya di TikTok dapat memberi inspirasi kepada anak muda untuk menceburi bidang ternakan haiwan, perladangan atau pertanian.
“Saya percaya, ramai anak muda di luar sana minat menceburi bidang perladangan dan pertanian.
“Teruskan saja, jangan malu atau anggap bidang ini tiada masa depan kerana ramai sebenarnya sudah berjaya malah bergelar jutawan dengan menjadi penternak lembu,” katanya.
Sumber: My Metro