Projek Mega Tanaman Lada Hitam di Tanah Bris Pacu Pertanian Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU – Projek mega komersial tanaman lada hitam di Rhu Tapai adalah manifestasi Mercu Tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang berhasrat menjadikan Terengganu pelopor kepada pengeluaran lada hitam di tanah bris. Projek mega ini yang melibatkan perlaburan bernilai RM320 juta bakal memacu kejayaan sektor pertanian yang terbesar di negeri Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, syarikat bertaraf antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat iaitu Mc Cormick telah berjaya membangunkan tanah seluas 600 hektar dengan komoditi lada hitam yang menjadi antara projek lada hitam yang terbesar di Malaysia.


“Malah mengikut beberapa data dan maklumat, projek ini akan menjadi ladang lada hitam yang terbesar di dunia sebenarnya yang ada di Terengganu berdasarkan Martin dan Simon iaitu Directors Mc Cormick”.


“Dianggarkan sejumlah 2.5 juta pokok lada hitam akan ditanam dalam ladang seluas 600 hektar ini”. kata beliau kepada pemberita setelah melawat tapak projek tersebut di Rhu Tapai, Setiu.


Mengulas lanjut, projek mega ini bukan sahaja melibatkan penanaman ladang lada hitam malah turut melibatkan pembinaan komponen kilang.
Ia bertujuan bagi mengoptimumkan dari segi peluang pekerjaan dan juga supaya produk ini dapat diproses di negeri Terengganu bagi mengelakkan projek mega ini memberikan impak dengan kadar minimum kepada sosioekonomi negeri Terengganu.


Tambahnya lagi, projek ini disasarkan mampu membuka sebanyak kira-kira 2000 peluang pekerjaan kepada rakyat setempat secara berperingkat dan setakat ini, dengan fasa yang terbaru, hampir 300 peluang perkerjaan telah terisi.


Projek Ladang Hitam ini juga merupakan salah satu projek Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu (GPMT) yang melibatkan perlaburan berjumlah RM 720 juta.


Selain projek ini, di bawah projek GPMT turut melibatkan penternakan lembu semi-fidlot, penanaman nenas MD2, kilang baja humus daripada sisa buangan sawit, pusat pembenihan ikan marin, kambing tenusu, tapak semaian dan beberapa lagi projek termasuk projek-projek pembangunan tanah terbiar dengan memfokuskan tanaman buah-buahan bernilai tinggi, seperti durian Musang King dan Harum Manis.

  • UNIT BERITA MANIS FM