Projek Menaiktaraf Jambatan Merentasi Sungai Marang Bakal Siap 2025

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Satu lagi projek menaiktaraf jambatan merentasi Sungai Marang yang bernilai RM338.5 juta akan dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselesaan pengguna jalan raya khususnya di Marang.

Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof berkata, penaiktarafan jambatan ini akan mampu mengatasi masalah kesesakan trafik di jalan sedia ada dan mampu mengurangkan masa perjalanan sekurang-kurangnya 10 hingga 20 minit pada waktu puncak berbanding sebelum ini.

Tambah beliau lagi, projek ini berada di Laluan Persekutuan 3 yang menghubungkan Kuala Terengganu Ke Kuantan, Pahang dan merentasi Sungai Marang, di mana jambatan yang sedia ada kini tidak dapat menampung jumlah trafik yang semakin meningkat dan telah menyumbang kepada kesesakan di bandar Marang.

Pelaksanaan projek menaiktaraf jambatan itu bukan sahaja dapat memberikan manfaat daripada segi sosioekonomi, malah ianya akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk setempat di dalam industri perikanan dan pelancongan di samping memudahkan perjalanan rakyat khususnya dari jambatan Marang ke Kuantan.

“Saya berharap para kontraktor yang melaksanakan projek ini akan mengambil kira keselamatan pengguna dan mengurangkan ketidakselesaan para pengguna dengan pengurusan trafik dengan begitu baik sekali.

“Kita juga berharap projek ini dipantau oleh pihak berkuasa untuk memastikan ia dapat disiapkan sebagaimana yang telah dirancang,” katanya.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar bagi menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek menaiktaraf jambatan merentasi Sungai Marang, di sini, hari ini.

Projek itu akan dilaksanakan dalam tempoh masa 42 bulan dan dijangka siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada Oktober 2025.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM