PUTRAJAYA – Kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan projek perumahan terbaharu di atas tanah kerajaan seluas 211.55 ekar di Kemaman bagi memastikan lebih ramai rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, pihaknya akan menyerahkan tawaran projek di Bandar Kerteh Jaya dan Semanyor itu kepada pihak pemaju swasta, Ireka Development (Terengganu SDN. BHD).
Katanya, untuk permulaan pihak pemaju akan membina dua variasi rumah sebelum baki empat lagi melibatkan rumah teres, rumah berkembar, rumah banglo satu tingkat dan dua tingkat disiapkan dalam jangka masa enam tahun sejajar pembangunan di kawasan itu termasuk Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang siap pada 2027.
“Projek ini dibuat secara bercampur membabitkan dua lokaliti dengan jumlah RM468,683,500, melibatkan empat fasa dan enam variasi rumah yang akan ditawarkan kepada bakal pembeli dijangka siap dalam masa enam tahun.
“Namun, bagi mengembirakan rakyat maka pihak pemaju telah bersetuju untuk membina rumah jenis A (RM80,000) sebanyak 356 unit dan jenis B (RM185,000) sebanyak 547 unit untuk disiapkan dahulu.
“Harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju adalah relevan dalam situasi rakyat dan negara sedang bangkit selepas mengharungi detik yang mencabar memerangi Covid-19 yang bukan sahaja melanda negara bahkan seluruh dunia,” ujarnya
Katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Penyerahan Surat Tawaran Cadangan Pembangunan Perumahan Mesra Rakyat dan Bercampur Secara Penswastaan Di Bandar Baru Kerteh dan Kampung Semanyor, Kemaman, di The Everly Hotel, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, Pengerusi Ireka Corporation Berhad, Tan Sri Dato’ Mohd Ismail Che Rus, engarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Berhad, Mohd Hasnur Ismar Mohd Ismail dan pengarah Eksekutif Ireka Corporaton Berhad, Wan Ahmad Nazim Mohamad Nor.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Alias berkata Terengganu menyasarkan 60,000 unit rumah akan dapat dibina menjelang 2030.
“Dalam masa terdekat kita ingin memastikan menifesto yang dijanjikan untuk menawarkan 20,000 unit rumah kepada rakyat akan dapat dicapai.
“Yang telah berjalan sekarang sebanyak 16,000 kerana tahun 2022 tiada peruntukan daripada kerajaan pusat dan kita mengambil inisiatif menyerahkan projek perumahan kepada pihak pemaju,”ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan terus menjalin kerjasama dengan para pemaju bagi memastikan hasrat itu dicapai termasuk dengan merangka dasar perumahan yang mesra pemaju pada masa hadapan.
Sumber: TRDI News