TUMPAT – Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sg Golok Fasa 1 yang dijangka siap pada Ogos 2024 telah mencapai kemajuan sebanyak 77 peratus.
Timbalan Pengerusi Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Saizol Ismail berkata, setakat ini projek berkenaan sedang giat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan pihak kontraktor dalam usaha membaik pulih ban banjir yang telah runtuh di kawasan Sungai Lanchang.
“Menjadi harapan seluruh rakyat Kelantan, terutamanya penduduk yang tinggal di jajahan Pasir Mas dan Tumpat supaya projek ini dapat disiapkan sebagaimana yang dijadualkan.
“Ia juga bagi mengatasi masalah banjir yang seringkali melanda penduduk di kawasan tersebut apabila tiba musim Monsun Timur Laut, (MTL),” katanya ketika melakukan lawatan ke tapak projek PLSB Fasa 1, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Projek Khas (BPK), Mat Pua’at Mat Husain berkata, secara keseluruhan projek berkenaan melibatkan tiga fasa utama dan kini dalam usaha menyiapkan fasa yang pertama, untuk membina ban banjir Sungai Golok sejauh 26.02 kilometer.
“Impak projek ini akan dapat dilihat hasilnya setelah keseluruhan projek ini selesai pada keseluruhan tiga fasa; dan pada peringkat fasa pertama ini, masalah banjir masih lagi berlaku kerana projek ini belum selesai sepenuhnya,” jelasnya.
Projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 telah dimulakan pada April 2018 dengan kelulusan RM824 juta pada RMK-11 yang bertujuan menyelesaikan masalah banjir di Sungai Golok, sekali gus melindungi 16,800 penduduk di kawasan dengan keluasan 260 kilometer persegi termasuk zon pertanian daripada terjejas banjir dengan tahap perlindungan 50 kala purata ulangan (Average Recurrence Interval/ARI).
– Ain Manaf, HARAKAHDAILY