Kuantan: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menafikan dakwaan bertajuk ‘PTG Pahang dakwa tiada lesen lulus selepas 2019, tapi ada bukti pajakan melombong baharu lulus pada 2020’ seperti disiarkan di laman sosial Facebook milik seorang aktivis, Isnin lalu.
Pengarahnya, Datuk Fadzilla Salleh berkata, kenyataan terbabit tidak benar dan menegaskan tiada lagi kelulusan baharu pajakan melombong diberikan di kawasan Tasik Chini oleh kerajaan negeri Pahang selepas Mac 2019.
Katanya, berdasarkan semakan, pajakan melombong dimaksudkan sudah diluluskan pada 11 Disember 2013 dan didaftarkan pada 17 September 2020 di atas nama sebuah syarikat.
“Tindakan pendaftaran ini mengambil masa kerana terbabit dengan permohonan penukaran nama dan penyediaan pelan pra-hitungan serta pelan akui dalam menentukan had sempadan kawasan lombong.
“Bagaimanapun, bagi tujuan pengoperasian lombong, permohonan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) oleh syarikat terbabit ditolak oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada 28 April lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, PTG Pahang menjelaskan penggunaan ‘tahun’ pada nombor pajakan melombong yang didaftarkan merujuk tahun sesuatu pajakan melombong itu didaftarkan dan bukan tahun pajakan melombong diluluskan.
Katanya, selain itu, dimaklumkan bahawa tempoh pajakan melombong dan tempoh operasi adalah dua perkara yang berbeza.
“Operasi melombong hanya boleh dimulakan selepas mendapat kelulusan SKSPM yang dikeluarkan oleh JMG mengikut tempoh tertentu,” katanya.
Sumber: My Metro