KUALA LUMPUR, : Hasil kajian yang dijalankan masih tetap menujukkan punca sama banjir lumpur yang berlaku di Bentong dan beberapa kawasan lain iaitu akibat daripada fenomena alam.
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, apa yang berlaku ialah bencana alam yang dikenali sebagai bencana akibat tanah runtuh diikuti oleh aliran puing dan berakhir dengan banjir puing dan banjir lumpur.
“Ini adalah bencana yang berbeza dengan proses alam atau geologis seperti hakisan banjir biasa atau tanah runtuh biasa. Ini adalah proses alam biasa dan bencana yang tak dapat dielakkan.
“Ia dibuktikan dengan kejadian tanah runtuh yang besar di puncak-puncak pergunungan. Runtuhan ini berlaku sekaligus dengan jumlah yang banyak di satu-satu kawasan akibat hujan luar biasa yang berlaku setiap 50 ke 100 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai tinjauan udara bersama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.
Turut sama dalam tinjauan berkenaan ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, YH Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin.
Beliau berkata, lazimnya selepas keseluruhan runtuhan berlaku, tempat berkenaan akan jadi lebih selamat daripada sebelum runtuh kerana tiada lagi puing yang dibawa turut bergantung pada kejadian hujan.
“Tapi dalam masa sebulan dua ini kena berhati-hati kerana mungkin ada puing yang belum dibawa keluar. Kalau boleh ada pemantauan kita masuk ke dalam sungai untuk lihat ada saki baki puing yang belum dibawa oleh air sungai.
“Banjir lumpur dan banjir puing berkait dengan tanah runtuh… Banyak tanah runtuh, maka besarlah banjir. Banjir biasa hanya bawa air hujan tapi banjir puing bawa air dan bahan-bahan puing seperti pasir, batu kerikil, gelodak dan kayu kayan… Ini menyebabkan banjir jadi dua hingga empat kali ganda lebih tinggi, iaitu akibat kandungan puing-puing yang tinggi dalam air,” katanya.
Dalam pada itu, Prof Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo turut mengesyorkan agar setiap alur sungai ini dipetakan atau dipantau dengan melihat adakah ia sudah bersih, di mana tempat alirannya serta pemendapanya.
“Peta ini sangat berguna berguna untuk penguruasn membaik pulih dan memastikan keselamatan akan datang. Sebenarnya saya telah buat kajian aliran puing lebih 30 tahun bermula masa terjadinya banjir lumpur di Pos Dipang (perkampungan Orang Asli di Kampar, Perak) di mana saya lihat fenomena ini masih belum diterima masyarakat tapi saya teruskan kajian-kajian ini.
“Secara peribadi, bencana pada kali ini walaupun menjadi satu kesukaran kepada masyarakat terutamanya mangsa terlibat tetapi ia memberi lebih rahmat kepada saya berkenaan kajian banjir aliran puing.
“Usaha mengenalinya dapat memastikan kita dapat mengurangkan risiko bencana ini pada masa akan datang dan saya akan terus akan menceritakan pemerhatian dan kajian saya dan juga pengalaman saya berkenaan aliran puing ini untuk mendidik masyarakat supaya dapat mengenali perbezaan setiap punca dan kesan bencana,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA