KUANTAN – Penggunaan pukat pari atau pukat hanyut oleh nelayan dipercayai antara punca tiga penyu agar dewasa ditemukan mati di perairan negeri ini dalam tempoh dua bulan tahun ini.
Pengarah Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, tiga kes reptilia tersebut ditemukan, masing-masing seekor di Rompin dan terbaharu membabitkan kes di Sungai Ular dan Kampung Cherating, di daerah ini.
Menurutnya, reptilia terbabit dikatakan tersangkut pada pukat kerana terdapat kecederaan serius fizikal sebelum ditemukan selepas seminggu kejadian.
“(Pemeriksaan) di kepala penyu terbabit bengkak dan badan berdarah. Kegiatan nelayan menangkap ikan menggunakan pukat pari dipercayai penyebab utama kematian penyu dewasa.
“Penyu akan mati apabila tersangkut pada pukat berkenaan disebabkan tidak boleh timbul ke permukaan air untuk jangka masa lama. Jadi, kita memandang serius kes ini kerana kebanyakannya disebabkan kecuaian manusia yang tak patuh peraturan ditetapkan,” katanya pada Ahad.
Pada Selasa lalu, apabila bangkai penyu agar ditemukan di pesisir pantai Sungai Ular dengan kesan kecederaan fizikal, disusuli kes kedua Jumaat di pantai Kampung Cherating.
Beliau memberi peringatan kepada nelayan agar tidak menggunakan pukat hanyut atau pukat pari yang matanya melebihi 10 inci.
Jelasnya, mengikut Peraturan-Peraturan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980, Seksyen 25 Akta Perikanan 1985, mereka yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Abdullah menambah, nelayan juga diminta untuk supaya melepaskan semula penyu yang tersangkut pada pukat dan tidak mencederakan reptilia terbabit.
“Kita galakkan nelayan menggunakan alat penyisih penyu khususnya bot pukat tunda.
“Selain itu, terdapat juga kes kematian penyu disebabkan terkena kipas bot. Jadi, Saya harap nelayan, masyarakat pandang serius perkara ini bagi mengelakkan populasi haiwan ini berkurang,” katanya.
Tahun lalu, sebanyak sembilan kematian penyu agar direkodkan berbanding 10 kes pada tahun sebelumnya.
– SINAR HARIAN