KUALA NERUS – Pernah diisytiharkan sebagai pusat penempatan orang hanyut menjadikan Pulau Bidong mempunyai daya tarikannya tersendiri bagi pelancong terutamanya warga asing untuk bertumpu ke lokasi terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebelum dunia dilanda wabak pandemik Covid-19, pulau terbabit merekodkan 3,000 sehingga 5,000 pelancong dari luar negara.
“Kita tunggu sedikit waktu lagi apabila sempadan negara serta negeri dibuka, saya yakin mereka akan kembali semula ke sini. Kebiasaan mereka datang meminta kebenaran untuk upacara termasuk melangsungkan perkahwinan di sini selain mengenang datuk dan nenek moyang mereka yang pernah tinggal di sini.
“Peninggalan sejarah seperti kubu, pasar, perahu lama, dan beberapa monumen menjadi bukti kedatangan orang Vietnam bermula tahun 70-an dahulu yang meninggalkan kesan sejarah yang menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke sini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika hadir melakukan perasmian aktiviti gotong-royong membersihkan pulau berkenaan, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Lembaga Muzium negeri, Che Muhammad Azmi Ngah.
Mengulas mengenai program tersebut, Ariffin berkata ia diuruskan oleh pihak muzium negeri dengan Jabatan Pelancongan Negeri, Jabatan Perikanan dan beberapa pihak lain sebagai simbolik pembukaan sektor pelancongan bermula 1 September setelah dua tahun tidak menerima kehadiran pelancong.
Katanya, kerajaan komited untuk memelihara segala apa yang ada di pulau tersebut termasuk flora dan fauna yang masih tidak terusik sehingga menjadi syurga kepada peminat snorkeling serta selam skuba selain menjadi tumpuan peminat dan pengkaji sejarah.
“Biarlah tidak sehebat atau setanding Pulau Redang, Pulau Perhentian mahupun Pulau Kapas usaha kerajaan adalah memastikan apa sahaja yang ada di sini kekal terpelihara.
“Sebab itulah kami(kerajaan) tidak membenarkan chalet atau resort dibina oleh pengusaha-pengusaha di sini walaupun menerima banyak permintaan yang ada ialah ‘camp site’, ada pusat pemeliharaan coral kerana kita hendak pastikan ia terus terkenal melalui khazanah semula jadi yang ada di sini,” ujarnya.
Ujarnya lagi, walaupun tidak menjadi lokasi mewah untuk bercuti namun dengan usaha dijalankan itu menjadikan ia sebagai destinasi pilihan dalam keadaan masyarakat masih bimbang berkait keselamatan di waktu pandemik ini.
“Maksudnya tidak mendatangkan masalah tidak sebagaimana di pulau lain yang menjadi tumpuan orang ramai, di sini pelancong akan merasa selesa untuk menghayati keindahan dengan coralnya yang sangat cantik dan juga merupakan tempat yang sangat sesuai untuk aktiviti menyelam kerana tidak perlu bersesak dengan orang ramai.
“Namun kita mengingatkan kepada mereka yang hadir agar tidak meninggalkan sampah, kita berharap sangat oleh kerana tidak ada ‘resort’ mahupun perkampungan, adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dididik dalam diri setiap pengunjung.
“Lagi pula kita tidak mengupah mana-mana pihak untuk melakukan pembersihan, kita hanya ada pihak yang menjaga pulau ini sahaja,” ujarnya.
Sumber: TRDI NEWs