Pulau Lang Tengah Tawar Keunikan Berganda

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU – Pulau Lang Tengah yang terletak di antara Pulau Redang dan Pulau Perhentian menawarkan keunikan berganda buat pelancong yang berkunjung ke pulau itu. 

Pengurus Besar Summer Bay Lang Island Resort, Chong Fah Ming berkata, pulau tersebut menawarkan keunikan baharu melalui aktiviti lasak yang tiada di pulau lain.

“Kita merupakan pulau yang pertama di Pantai Timur memperkenalkan ‘Via Ferrata’ atau Laluan Tali Besi di dalam pulau.

‘Via Ferrata’ mengelilingi Pulau Lang Tengah

“Laluan Tali Besi ini berbeza daripada laluan pendakian yang berada di daratan, kita akan mengelilingi pulau dengan berlatar belakangkan lautan biru semasa pendakian tersebut,” katanya.

Jelas Chong, sebelum memulakan aksi lasak, pengunjung akan melalui laluan denai Hutan Batu Bulan bagi merentasi pulau terlebih dahulu sebelum sampai ke destinasi laluan tali besi.

Laluan denai Batu Bulan bagi merentasi Pulau Lang Tengah.

“Aktiviti ini akan dipandu oleh jurupandu yang diiktiraf dan terlatih bagi menjaga keselamatan pengunjung.

“Sudah pasti aktiviti ini memberikan kepuasan yang berlainan kepada penggemar aktiviti sukan lasak khususnya apabila berkunjung ke sini,” ujarnya.

Tambah Chong, selain aktiviti lasak berkenaan, Pulau Lang Tengah juga mempunyai pelbagai kawasan yang menarik di sekitarnya bagi melakukan aktiviti menyelam.

“Pengunjung juga boleh menyelam pada waktu malam sambil melihat situasi fenomena ‘Blue Sand’ atau Pasir Biru di pulau ini,” jelasnya ketika ditemubual oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

“Fenomena ini hanya boleh dilihat pada waktu malam, ketika ini dasar laut akan kelihatan seperti lautan cahaya biru berkelipan di dalamnya.

“Apabila berada di pulau ini, pengunjung pasti merasai pengalaman yang berbeza berbanding pulau-pulau yang lain.

Menyelam pada waktu malam bagi melihat fenomena 'Blue Sand'
Menyelam pada waktu malam bagi melihat fenomena ‘Blue Sand’.

“Kita berharap dengan memperkenalkan aktiviti baharu dan sedia ada ini, kita mampu untuk menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu selain merasai sendiri keunikan yang ada di pulau ini,” ujarnya.

Sumber: TRDI News