RABAT: Puluhan penduduk dilaporkan terbunuh susulan gempa bumi yang melanda kawasan pergunungan High Atlas di Maghribi awal pagi Sabtu.
Penduduk di Marrakesh berkata, beberapa bangunan telah runtuh akibat kejadian itu dan media tempatan menunjukkan runtuhan bangunan menimpa beberapa kenderaan yang diparkir.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kebanyakan kematian dilaporkan di kawasan pergunungan namun tidak mendedahkan angka sebenar.
Saluran berita Pan-Arab al-Arabiya melaporkan lima sekeluarga terbunuh akibat gempa tersebut manakala portal berita Goud.ma memetik pegawai kerajaan tempatan yang berkata sekurang-kurangnya 50 maut dalam kejadian itu.
Pusat Geofizik Maghribi berkata gempa dengan magnitud 7.2 menggegarkan kawasan pergunungan High Atlas di Ighil, manakala Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, pusat gempa dikesan 71km barat daya dari Marrakesh pada kedalaman 18.5km.
Ighil menempatkan perkampungan petani kecil kira-kira 70km di barat daya Marrakesh.
– AWANI