PUMA Umum Jersi Baharu City

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Jenama sukan global, PUMA mengumumkan pengeluaran jersi tempat sendiri atau ‘Home Kit’ baharu juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City bagi musim 2023/24.

Pengenalan jersi baharu itu dianggap sebagai meraikan pencapaian cemerlang kelab itu terutama selepas mengesahkan kejuaraan ‘treble’ dengan memenangi trofi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Ia juga menjadi sambutan dan penghormatan yang hebat buat kelab itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-20 perpindahan bersejarah The Citizens ke Stadium Etihad.

Diinspirasikan daripada jersi yang dipakai semasa musim pertama Manchester City di gelanggang baharu mereka, grafik bahagian hadapan home kit 2023/24 menampilkan elemen seni bina unik Stadium Etihad.

Poskod stadium dipaparkan di belakang untuk meraikan 20 tahun di ‘rumah’ baharu City dan jersi itu menampilkan kolar leher berbentuk V, diinspirasikan daripada jersi pertama yang digunakan pada musim 2003/04.

Manchester City memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab, sekali gus meraih kejuaraan treble selepas menewaskan Inter Milan 1-0.

Rodri menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-68 di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul untuk kejuaraan ketiga City musim ini selepas EPL dan Piala FA.

– BERITA HARIAN