KUALA LUMPUR – Purata trend kehadiran murid ke sekolah melebihi 85 peratus semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka bagi tempoh 3 Okt hingga semalam, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata perkara itu menunjukkan pembukaan semula sekolah secara umumnya diterima baik oleh ibu bapa dan murid selain membolehkan guru mengenal pasti tahap penguasaan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian.
“Secara keseluruhannya, bilangan sekolah yang sedang beroperasi (di seluruh negara bagi tempoh 3 Okt hingga 29 Nov) adalah 10,060 sekolah dan melibatkan seramai 4,385,281 murid.
“…semua sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM (Kementerian Pendidikan) di negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah beroperasi sepenuhnya melibatkan 8,166 sekolah.
“Kelantan dan Sarawak yang berada dalam Fasa 3 PPN pula, sebanyak 1,894 sekolah telah beroperasi melibatkan 1,526 sekolah rendah dan 368 sekolah menengah,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri.
Radzi berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang ingin tahu perkembangan terkini pengoperasian sekolah di seluruh negara sejak pembukaan secara berperingkat pada 3 Okt lepas serta penerimaan guru, murid dan ibu bapa mengenai perkara itu.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai perancangan KPM untuk semua sekolah beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran, beliau berkata ketika ini kehadiran ke sekolah tanpa penggiliran dilaksanakan untuk murid kelas peperiksaan sekiranya lebih 90 peratus murid kelas peperiksaan di sesebuah sekolah itu telah divaksin.
Beliau berkata ketika ini, murid kelas peperiksaan di semua sekolah di seluruh negara dibenarkan hadir ke sekolah tanpa sistem penggiliran kecuali empat sekolah yang belum mencapai vaksinasi 90 peratus.
“Untuk murid lain, kita sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melihat kohort manakah yang boleh dimasukkan berikutnya tanpa penggiliran.
“Tentang jangka masa itu, sebaiknya di peringkat KPM inginkan mereka kembali ke sekolah tanpa penggiliran secepat mungkin, namun kita sentiasa ambil kira faktor kesihatan dan berbincang dengan KKM terutama dalam konteks varian baharu COVID-19,” katanya.
Sumber : BERNAMA