Kuala Terengganu: Kehadiran pengunjung di pusat beli-belah utama di negeri ini menunjukkan penurunan lebih 80 peratus sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kebanyakan yang datang terdiri daripada pekerja penghantar makanan dan individu yang mahu membeli barang keperluan harian dan makanan.
Menurutnya, sebelum pelaksanaan SPP PKP 3.0, jumlah pengunjung boleh mencecah sehingga lebih 3,000 orang sehari namun kini, ia hanya merekodkan antara 500 hingga 700 orang sehari.
“Mereka yang datang ini pula kebanyakan daripada pekerja penghantar makanan dan ia menunjukkan kepatuhan rakyat Terengganu adalah sangat tinggi.
“Selain itu, tiada sebarang kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di pusat beli-belah dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dalam tempoh lima hari ini, kita ada mengeluarkan sebanyak 108 kompaun kerana pelanggaran SOP namun kesemua kesalahan itu tidak berlaku di pusat beli-belah,” katanya ketika melakukan pemantauan di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.
Rohaimi berkata, kadar pematuhan rakyat Terengganu terhadap SOP ketika pelaksanaan PKP 3.0 juga tinggi apabila berada pada tahap 96 peratus.
Katanya, pencapaian pencapaian yang direkodkan itu amat memuaskan dan berharap masyarakat terus patuh dengan arahan yang ditetapkan.
Sumber: My Metro