Qabil Mahu Ikut Jejak Karier Rossi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Pelumba cilik negara Qabil Irfan Azlan yang menggegar dunia pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP kelas 160cc di Valencia, Sepanyol minggu lalu mahu mengikut jejak langkah idolanya, Valentino Rossi.

Jelas murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1), Kuala Terengganu, kejayaan juara dunia sembilan kali MotoGP dari Itali itu membakar semangatnya untuk mencipta kejayaan lebih bermakna dalam kategori lebih tinggi selepas ini.

Bagaimanapun anak kedua daripada empat-beradik itu mengakui perjalanan untuk bergelar pelumba terbaik dunia dalam kategori lebih tinggi masih jauh lebih-lebih lagi ia memerlukan pengorbanan selain latihan berterusan.

“Selepas muncul juara kategori ini, sasaran saya selepas ini untuk beraksi dalam kategori yang lebih tinggi dengan menjadikan pelumba Itali (Valentino Rossi) sebagai idola.

“Seperti Rossi bergelar juara dunia, impian saya suatu hari nanti juga sama muncul juara dunia dalam kelas perdana,” katanya ketika ditemui pada majlis menyambut kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, petang semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@ Kamal Mohamed.

Ketika ditanya mengenai kejayaan itu, Qabil mengakui kegagalan untuk menjuarai kejohanan sama tahun lalu selepas mendapat tempat ketiga membakar semangatnya untuk mencipta sensasi di bumi Sepanyol kali ini.

“Syukur Alhamdulillah rezeki saya mara ke final dan seterusnya muncul juara dunia, ketika itu saya tidak menyangka boleh merangkul kejuaraan sebab semasa perlumbaan saya ketinggalan dengan pelumba Jepun, lagipun saya tidak sasar untuk naik podium dalam cuaca begitu sejuk sehingga 6 darjah Celsius ditambah litar basah.

“Cuma sasar ke final, namun tak jangka muncul juara terutama berjaya mengetepikan pelumba tuan rumah dan Jepun, terima kasih kepada semua yang menyokong dan mendoakan saya,” katanya yang turut ditemani rakannya, Airel Marzuki, 11, yang mendapat tempat ke-10 dalam kejohanan itu.

Sementara itu Hishamuddin berkata, kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif wang tunai kepada Qabil yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.

“Bagaimanapun jumlahnya akan diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) minggu depan,” katanya.

Terdahulu Qabil Irfan dinobat selaku juara dunia selepas menyapu bersih semua tiga perlumbaan dengan pungutan 100 mata keseluruhan manakala pelumba Jepun, Kotaro Togashi di tempat kedua dengan 76 mata dan Enzo Zaragoza dari Sepanyol ketiga dengan 65 mata.

– BERITA HARIAN