Rahsia Sedekah Yang Boleh Memberi Ketenangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bila berbicara mengenai sedekah, kita memahami hakikat bahawa ganjaran yang disediakan Allah sangat luas, bukan sahaja untuk kepentingan dunia tetapi juga sebagai salah satu saham akhirat.

Mana taknya, ia merupakan salah satu pahala yang sentiasa mengalir walaupun sehingga anda telah meninggal dunia.

Hebat bukan? Walaupun anda hanya bersedekah sekali sahaja, namun selagi mana ia memberi manfaat kepada orang sekeliling terutamanya si penerima sedekah, maka ganjarannya akan sentiasa mengalir seolah-olah amalan itu masih baru.

Antara ganjaran lain yang Allah berikan bukan sahaja terletak pada pahala yang mengalir namun juga pada ketenangan jiwa.

Betulkah orang yang bersedekah ini Allah hadirkan ketenangan kepadanya? Ada sebuah firman Allah yang berbunyi:

Mafhum: “Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berduka cita.” (Surah Al-Baqarah, 2:274)

Menerusi ayat ini, kita dapat faham bahawa orang yang mendermakan hartanya ke jalan Allah sama ada ia dilakukan secara terang-terangan mahupun sembunyi, Allah akan memberikan ganjaran ketenangan di hatinya.

Tenang di sini maksudnya, seseorang itu tidak akan mudah berasa risau dengan apa yang bakal berlaku sebab di hatinya ada keyakinan bahawa Allah akan membantu urusannya.

Sebab apa? Sebab Allah telah menjanjikan kepada orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, maka Allah akan membantu menggandakan rezekinya dan mempermudahkan urusan hidupnya.

Apabila kita memberi, kita yakin bahawa harta itu adalah saham akhirat kita. Walaupun di dunia ini ia bukan lagi milik kita, namun di akhirat kelak, ia adalah salah satu pahala yang akan membantu jalan kita ke syurgaNya.

Yang penting adalah ikhlas dengan pemberian tersebut. Biarlah apa yang kita beri itu sedikit, namun jika ikhlas dan tidak riak, insyaAllah ganjarannya amat besar di sisi Allah.

Sumber: TZKRH.COM