Lipis: Bekas ‘home guard’ atau pengawal kampung, Kamarudin Li pernah menghadapi detik cemas dan nyaris maut dalam satu pertempuran dengan pengganas komunis ketika zaman darurat di Kampung Sepial, Kuala Tembeling, di sini.
Mengimbas detik cemas pada awal 1940-an itu, Kamarudin, 82, berkata, ketika pertempuran bersama 10 anggota lain, peluru seperti hujan melintasi di atas kepalanya dan pertempuran itu berlaku di dalam gelap pada 9.30 malam.
“Ketika itu, pasukan saya diketuai Allahyarham Nong Taib Santan atau lebih dikenali sebagai Pawang Nong dan di bawah seliaan Wan Deraman dan pertempuran berlarutan hampir sejam.
“Dalam pertempuran itu, seorang pengganas komunis berjaya ditembak mati dan beberapa yang lain cedera berdasarkan kesan darah ditinggalkan.
“Mayat komunis ditempatkan di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Tembeling sebelum dibawa ke Jerantut. Sultan Pahang tiba ke Kuala Tembeling dan menyaksikan kejayaan pasukan home guard sebelum saya diundang ke Pekan dan menerima Anugerah Keberanian Termuda daripada pihak istana,” katanya yang tinggal bersama keluarga di Kampung Seberang Tanjung Buluh, Lipis.
Kamarudin berkata, dia menjadi home guard pada 1940 hingga 1959 serta pernah diberi tugas mengemudi bot angkut polis dan penduduk bandar Kuala Lipis ke Kuala Medang semasa darurat.
Menurutnya, dia masih menyimpan enjin bot lama yang digunakan berulang alik dari Kuala Lipis ke Kuala Medang dan Kuala Lipis ke Kuala Tembeling bagi tujuan pengangkutan pada zaman darurat.
Kecekapan Kamaruddin mengemudikan bot serta pengalamannya di sungai Jelai itu menyebabkan dia digelar ‘Raja Sungai Jelai’.
“Enjin bot lama terpakai dianggarkan berusia 60 tahun itu dibeli dengan harga RM200 sebagai kenangan dan masih disimpan hingga sekarang.
“Alhamdulillah, saya masih mempunyai kudrat dan boleh mengangkat tong gas dan peralatan binaan rumah.
“Generasi muda perlu menghayati perjuangan nenek moyang dahulu mengenai keperitan dan kesukaran mereka dengan kemudahan terhad untuk menjaga negara.
“Kami berkhidmat tanpa ‘belanja’ atau gaji, tapi demi tanah air sanggup menggadai nyawa mempertahankan negara dengan kehidupan susah di kampung pada waktu itu,” katanya.
Sementara itu, pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan inisiatif Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Nor membina rumah secara gotong-royong buat Kamarudin dianggarkan berharga RM80,000 sejak awal tahun ini dan sudah boleh diduduki.
Sumber: My Metro