Rakan sekolah bertemu semula selepas 48 tahun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Dua rakan sekolah semasa kanak-kanak hingga awal remaja, amat terkejut dan teruja apabila dapat berjumpa semula secara tidak sengaja selepas 48 tahun berpisah ketika menerima suntikan vaksin dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini.

Hamdan Daud, 63, dari Kampung Ulu Cheka dan Maziah Kamaruddin, 63, dari Felda Jengka 24 ditakdirkan duduk sebaris ketika menunggu giliran suntikan dos kedua.

Menurut Hamdan, mereka bersekolah selama enam tahun dari darjah satu hingga enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Pawang Nong, Ulu Cheka dari tahun 1965 sehingga 1970.

“Persahabatan kami kekal hingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah (SM) Jerantut pada tahun 1973.

“Selepas itu kami berpisah mengikut nasib dan haluan masing masing dan tidak sangka dapat bertemu semula di sini,” katanya.

Menurut Hamdan, dia tergerak hati untuk menegur ‘jiran sebelah’ sebaik sahaja petugas memanggil nama Maziah untuk memberi nombor giliran menunggu.

“Kami berada di tempat sama tetapi saya tidak mengenalinya kerana perubahan fizikal dan wajahnya dilindungi pelitup muka.

“Saya teruja dan gembira apabila mendengar suaranya kerana dapat pastikan dialah Maziah kerana suaranya tidak berubah.

“Selepas belajar bersama hingga ke tingkatan tiga, kami berpisah dan tidak berjumpa selama 48 tahun tetapi bertemu secara tidak sengaja selepas masing-masing beranak cucu,” katanya yang juga seorang pesara Jabatan Hutan Pahang.

Hamdan berkata, Maziah menjadi ketua darjah dari darjah satu hingga enam di SK Pawang Nong, Ulu Cheka manakala saya pula penolong ketua darjah.

Katanya, ketika belajar di SM Jerantut mereka juga belajar di kelas sama malah Maziah juga dilantik sebagai ketua tingkatan.

Sementara itu, Maziah turut gembira dapat berjumpa rakan sepermainan ketika kanak -kanak yang meninggalkan banyak kenangan walaupun kini semuanya sudah berubah.

“Saya bersyukur dapat berjumpa semula kawan sepermainan. Selepas tahun 1973 saya berpindah ke beberapa daerah seperti Pekan, Temerloh dan Lipis mengikut abah yang bertukar tempat bertugas.

“Ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan orang Jerantut juga dan kini menetap di Felda Jengka 24 sebagai penerokawati,” katanya.

Menurutnya, beliau bercadang membawa suami dan anak-anak menziarah kawan lama bagi mengeratkan kembali hubungan mereka.

Sumber: My Metro