Kota Bharu: Rakyat Kelantan disifatkan masih degil dan bersikap ambil lewa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sekali gus menjadikan negeri ini tidak mencatatkan penurunan jangkitan Covid-19 berbanding negeri lain.
Berdasarkan kes harian semalam, Kelantan masih merekodkan empat angka kes jangkitan iaitu sebanyak 1,020 kes dan berada di kedudukan kedua selepas Sarawak iaitu 1,189.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, dari segi vaksinasi dan penguatkuasaan undang-undang pematuhan, pihaknya sudah menjalankan yang terbaik di mana hampir mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
“Penularan bukan disebabkan daripada kerajaan kepada rakyat, sebaliknya rakyat kepada rakyat itu sendiri yang tidak peka dengan pemakaian pelitup muka.
“Kajian menunjukkan jangkitan boleh dikurangkan dengan pemakaian pelitup muka, tapi rakyat kita entahlah sama ada tidak faham atau ‘handalan’ (berasa hebat), atau mungkin belum dijangkiti, jadi tidak menitikberatkan penggunaan pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir di pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Demit 2, di sini, yang dijadikan PPV untuk remaja sejak Ahad lalu.
Dr Izani berkata, jika dilihat dari segi bilangan rakyat Kelantan yang menetap di negeri ini, angkanya adalah 1.1 juta dan bukannya 1.2 juta sekali gus menjadikan peratusan vaksinasi sudah mencapai 95 peratus.
Menurutnya, dianggarkan lebih 100,000 rakyat Kelantan menetap di luar negeri itu termasuk negara sama ada bekerja atau belajar.
“Proses pemutihan akan dijalankan esok kerana rakyat Kelantan berada di merata-rata dan daripada 1.2 juta, nilai konservatif yang dianggarkan hanyalah 1.1 juta sahaja sekali gus vaksinasi kita sudah mencapai 95 peratus,” katanya.
Beliau berkata, melihat kepada perkembangan vaksinasi, pihaknya menjangkakan Kelantan akan beralih kepada fasa tiga dalam masa terdekat dan lebih banyak sektor ekonomi serta sosial akan dibuka.
“Sekarang masjid pun sudah dibuka dengan kapasiti 40 jemaah dengan syarat masih mematuhi SOP termasuk membawa sejadah sendiri.
“Jika nilai ambang semakin baik dan jangkitan kurang, kita akan membuat permohonan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) agar membuka lebih ramai kapasiti jemaah agar masjid dapat diimarahkan,” katanya.
Sumber: My Metro