Rakyat Palestin bertempur dengan Tentera Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
PASUKAN keselamatan Israel bertempur dengan penduduk Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis. – AFP

Sekurang-kurangnya 205 penduduk Palestin dan 17 anggota polis cedera dalam pertempuran yang berlaku di Baitulmuqaddis.

Dilaporkan, polis Israel menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan menyuraikan jemaah di sekitar Baitulmuqaddis Timur ketika ketegangan semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu.

Sebahagian besar orang cedera di perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika penduduk Palestin membaling batu dan botol terhadap polis Israel yang melepaskan peluru getah dan bom tangan ke arah mereka.

Menurut perkhidmatan ambulans Palang Merah Palestin, sebanyak 108 penduduk Palestin yang cedera dibawa ke hospital setelah terkena peluru logam bersalut getah. 

Palang Merah Palestin memberitahu bahawa pihaknya telah membuka sebuah hospital lapangan untuk merawat mangsa yang cedera dalam pertempuran itu.

Katanya, salah seorang mangsa yang cedera kehilangan mata, dua orang mengalami cedera parah di kepala dan dua individu lagi patah rahang. 

Tambahnya, kebanyakan mangsa mengalami cedera ringan.

Terdahulu, puluhan ribu jemaah Palestin berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.

Dilaporkan, ramai yang terus berada di lokasi itu melakukan demonstrasi membantah tindakan pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah mereka di Baitulmuqaddis bagi memberi laluan kepada penduduk Israel. 

Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi umat Islam.

Polis Israel berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kekerasan untuk memulihkan ketenteraman disebabkan rusuhan ribuan jemaah selepas solat pada waktu malam. 

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Israel untuk menghentikan sebarang pengusiran secara paksa di wilayah yang dijajah di Baitulmuqaddis Timur dengan memberi amaran tindakan itu bakal membawa kepada `jenayah perang’.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menganggap Israel bertanggungjawab terhadap serangan yang berlaku di kota suci dan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan mesyuarat tergempar berhubung isu tersebut. – REUTERS/AGENSI