‘Ralat tak boleh cium tok’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Tidak boleh menabur bakti akhir menguruskan jenazah insan tersayang menjadikan perpisahan abadi lebih pahit daripada pengalaman berdepan kematian lain buat waris pesakit Covid-19.

Suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 46, berkata, rasa terkilan amat dirasai apabila hanya mampu melihat empat individu tidak dikenali dengan sut peralatan perlindungan diri (PPE) mengebumikan jenazah neneknya di sebalik pagar tanah perkuburan.

Neneknya yang berusia 84 tahun adalah pesakit Covid-19 daripada kluster Tanah Putih Baru dengan kluster itu dipercayai berpunca akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di masjid ketika aktiviti berbuka puasa atau moreh.

“Ralat di hati kerana kami langsung tidak boleh menatap, mencium tok (gelaran neneknya) buat kali terakhir…tidak berpeluang untuk mandi, kafan atau solatkan jenazah sedangkan arwah ada lima anak dan ramai cucu yang boleh diharap menguruskan jenazah.

“Baru dua hari lepas tok disahkan positif namun kesihatannya merosot mendadak. Semalaman sahaja dia di unit rawatan rapi (ICU) sebelum kami dimaklumkan sudah dijemput Ilahi…tak sempat kami bisikkan kalimah syahadah kepadanya,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Hutan Setali di sini, semalam.

Siti berkata, selain neneknya, tiga lagi ahli keluarganya juga disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan yang diwajibkan kepada semua penduduk Taman Tanah Putih Baru ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, keadaan neneknya paling teruk disebabkan faktor usia selain menghidap penyakit lain termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Buat masa ini, bapa, ibu dan adik lelakinya sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, dan Siti berharap keluarganya tidak lagi menerima khabar duka dalam masa terdekat.

“Tak sangka akhirnya ia (Covid-19) berlaku dalam keluarga kami. Lebih sedih, kami kehilangan insan tersayang sehari sebelum hari raya. Kami tidak tahu ada dalam kalangan keluarga yang dijangkiti kerana tiada simptom ketara.

“Ayah memang jemaah masjid dan mengalami demam hujung bulan lalu. Beberapa hari kemudian baru kami dimaklumkan mengenai kluster itu namun masih berharap tiada apa-apa kerana keadaan ayah semakin baik selepas mendapatkan rawatan di klinik,” katanya.

Sehubungan itu, Siti berharap penduduk Taman Tanah Putih Baru yang ‘menghilangkan diri’ dari rumah sejurus sebelum PKPD bermula dan belum tampil membuat saringan untuk segera pulang bagi mengambil ujian itu supaya status kesihatan diketahui.

Sumber: My Metro