Makanan dan minuman memang adalah keperluan asas untuk kehidupan manusia. Namun seperti ungkapan pujangga yang kita sering dengar: makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.
Umat Islam di negara ini diingatkan bahawa Ramadan bukan musim ‘berpesta’ makanan sehingga berlaku pembaziran, sepanjang tempoh menjalani ibadat puasa pada bulan suci ini.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut mengingatkan bahawa pembaziran makanan adalah haram dalam Islam. Sepatutnya apabila Ramadan tiba, beliau berkata, umat Islam mengambil hikmah berpuasa dengan bersikap seimbang dalam pelbagai aspek, termasuk tidak terlalu boros berbelanja.
“Melawan kemahuan diri yang melampau adalah satu jihad besar. Setiap umat memang perlu berjihad melawan godaan ini, termasuk dari segi makanan dan minuman,” katanya.
Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman pula menasihati umat Islam supaya mengikut sunnah Rasulullah yang mengamalkan berbuka puasa dengan memakan kurma yang bukan saja boleh mengenyangkan tetapi juga membantu badan menjadi segar semula.
“Kita perlu belajar mengawal diri, terutama dalam keadaan ekonomi sekarang, kerana membazir juga adalah amalan yang dilarang dalam Islam,” katanya.
-BHarian