Rampas 5,181 kg beras seludup

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Gambar Hiasan

Tanah Merah: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 5,181 kilogram (kg) beras seludup dalam dua serbuan di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, nilai keseluruhan beras itu dianggarkan RM20,724 dan 500 kg beras pulut bernilai RM3,500 turut dirampas.

Beliau berkata, dalam rampasan pertama pada 7 pagi, serbuan dibuat di rumah tidak bernombor apabila rondaan di kawasan itu ternampak dua kereta di hadapan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan dalam kenderaan jenis Proton Pesona dan Proton Gen2 itu mendapati ia dipenuhi beras siam iaitu sebanyak 2,590 kg dengan anggaran nilai RM10,360.

“Anggota kami menunggu selama 30 minit namun tiada individu yang tampil dan kesemua beras termasuk dua kenderaan dibawa ke Markas Taktikal PGA9 di Lubok Setol, Pasir Mas, dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam serbuan kedua pula, Nor Azizan berkata, ia dilakukan di kampung sama di rumah kosong yang dipercayai lokasi transit untuk beras seludup.

Beliau berkata, serbuan 11 pagi itu mendapati rumah terbabit tidak berpenghuni dan pintunya juga tidak berkunci.

“Pemeriksaan dalam rumah terbabit menemui sejumlah guni putih mengandungi beras pelbagai jenama iaitu sebanyak 2,591 kg dan 500 kg beras pulut.

“Kita percaya semua beras yang diseludup daripada Thailand itu untuk pasaran Kelantan dan Terengganu disebabkan permintaan yang tinggi,” katanya.

Kesemua rampasan diserahkan kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994.

Sumber: My Metro