Rampasan Op Global Jadi Bukti Status Akidah Pengikut GISB – Jakim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Hasil rampasan Op Global fasa keempat oleh polis dan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh dijadikan bukti sokongan untuk menentukan status pegangan akidah pengikut kumpulan GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Bukti rampasan Op Global fasa keempat akan dijadikan asas oleh Jakim untuk menentukan status akidah pengikut GISBH dan dibincangkan dalam Muzakarah MKI pada 24-26 September.

Keputusan Muzakarah MKI akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa untuk mendakwa ajaran kumpulan GISBH di Mahkamah Syariah.

Beberapa risalah dan barang khurafat yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam dirampas dari premis GISBH di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk bahan berkaitan ajaran Al Arqam yang diharamkan.

Ketua Pengarah Jakim Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata bahan-bahan bukti berkenaan akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) pada 24 hingga 26 Sept ini.

“Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISBH itu akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan itu dibawa ke Mahkamah Syariah,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook Jakim, semalam.

Hakimah berkata Jakim amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak polis dalam membantu pihaknya melengkapkan bahan bukti untuk siasatan kes berkaitan GISBH.

“Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri yang memberi kerjasama erat kepada Jakim selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

“Jakim di bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semalam memaklumkan beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat dirampas dalam serbuan di premis berkaitan GISBH di seluruh Semenanjung Malaysia.

Antara hasil rampasan di Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang itu termasuk enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.

— BERNAMA