MANCHESTER – Rangers kembali ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pertama kali dalam 12 tahun selepas kemenangan 1-0 di PSV Eindhoven awal pagi tadi manakala Dinamo Zagreb juga layak selepas menang dalam tambahan masa mengatasi wakil Norway, Bodo/Glimt.
Antonio Colak meledak gol kemenangan buat skuad dari Glasgow itu selepas sejam apabila Milik Tillam mencuri bola daripada pertahanan PSV, Andre Ramalho dan menyilangkan bola buat penyerang Croatia itu.
Rangers mara ke final Liga Europa musim lalu namun tewas kepada Eintracht Frankfurt, dan kini mereka kembali ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara yang melengkapkan musim cemerlang kelab Scotland itu.
Selepas dibelenggu masalah kewangan dan aset dicairkan, Rangers perlu bermula sekali lagi di divisyen empat bola sepak Scotland pada 2012.
“Sukar untuk menggambarkannya dalam perkataan, ia persembahan berpasukan yang hebat. Ia perjalanan menakjubkan kami lalui musim ini dan saya sangat bangga dengan semua pemain,” kata Colak.
“Saya menangis di padang, ia waktu yang amat gembira. Ketika kecil saya sentiasa mahu bersaing pada tahap ini dan untuk berada di sini, ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya.
Ketika Celtic juga berada dalam peringkat kumpulan, Scotland kini memiliki dua pasukan terkuat mereka dalam kejohanan elit itu pertama kali sejak 2007/08.
Sementara itu Dinamo Zagreb memerlukan tambahan masa untuk mengetepikan wakil Norway, Bodo/Glimt 4-1, memastikan kemenangan agregat 4-2 apabila hampir terlepas peluang.
Mislav Orsic meledak buat Dinamo pada minit keempat dan kemudian sepakan baik Bruno Petkovic melebarkan kelebihan mereka dan 2-1 secara agregat.
Namun juara Norway itu bangkit menerusi jaringan penyamaan Albert Gronbaek pada minit ke-70.
Pada awal babak kedua tambahan masa, Dinamo mengembalikan kelebihan mereka hasil jaringan Josip Drmic dan kemudian mengesahkan kemenangan hasil gol Petar Bockaj.
Sumber : BERITA HARIAN